LINK

KOTA BHARU – Di sebalik kehangatan kempen Pilihan Raya Umum ke-13 
(PRU13) di sini, orang ramai khususnya kaum wanita Kelantan, tidak 
melepaskan peluang membeli barang perhiasan berikutan harga emas turun 
sejak minggu lepas.
Harga emas jenis 916 yang menjadi pilihan penggemarnya, turun kepada 
RM380 bagi 2.7 gram, berbanding RM420 untuk 2.7 gram sebelumnya.
Tinjauan Bernama mendapati seawal 9 pagi, pengunjung mula membanjiri 
kedai-kedai emas di sekitar bandar Kota Baharu, malah ada yang sanggup 
beratur sebelum waktu perniagaan bermula.
Pekerja Kedai Emas Wan Hassan Wan Omar, Wan Ahmad Salihan Wan Mohd 
Zaki, 18, berkata orang ramai mula menyerbu kedai milik keluarganya itu 
selepas berita harga emas turun, disiarkan akhbar.
Susulan itu, Wan Ahmad Salihan berkata operasi kedai itu yang ditutup
 5.30 petang setiap hari, kini dilanjutkan sehingga 7 malam.
“Suasana bertambah meriah pada hari minggu sebab orang datang tak 
putus-putus. Kalau waktu kerja orang hanya datang pada masa rehat,” 
katanya ketika ditemui di sini.
Antara yang menjadi pilihan pelanggan ialah rantai, gelang dan loket 
selain barangan kemas yang ditempah mengikut kehendak mereka.
Penggemar rantai dan gelang, Rozilawati Sallehuddin, 41, berkata 
beliau tidak kisah berbelanja besar untuk mendapatkan barangan kemas 
kerana ia tidak mudah susut nilai.
“Emas ni pelaburan. Beli banyak kemudian boleh jual bila harga dia 
naik semula, kadang-kadang tu sampai dua kali ganda daripada harga 
asal,” katanya.
Nik Mahani Nik Abdullah, 55, berkata emas Kelantan mempunyai keunikan
 tersendiri kerana mendakwa kualitinya lebih tinggi berbanding tempat 
lain.
Meminati emas sejak 30 tahun lepas, Nik Mahani berkata beliau 
biasanya akan membuat tinjauan harga serta mencari reka bentuk terbaharu
 barangan kemas sebelum membuat sebarang pembelian.
“Kalau tak jumpa yang berkenan, saya akan buat tempahan di kedai emas
 untuk disesuaikan dengan pergelangan tangan saya yang kecil. Walaupun 
mahal sedikit, tak apa, janji puas hati,” katanya.- Bernama
note : tiba2 rasa gedik nak kelik kelate nak beli emas hehehehhe 
 