ekoran entry
 INI, so my senior selaku ibu Danish telah menulis surat kepada pihak sekolah...
me dh mintak her permission utk share kat my blog, utk kebaikan kita semua, in case terjadi kepada sesiapa jua hal yg serupa (wal iyazubillah)
(Contoh  surat kepada pihak sekolah, jika ada sebarang insiden tidak diingini  berlaku kepada anak kita (mohon Allah jauhkan) untuk kebaikan bersama)  Pengalaman menulis surat ini afdhal berada dalam keadaan berwudu',  selawat, solat taubat dan hajat) mohon Allah permudahkan dan sampai  mesej kita kepada pihak penerima. Objektif: Semoga ibubapa yang membaca  mendapat inspirasi dan guru-guru yang membaca merasakan bahawa mendidik  anak bangsa bukan tugas yang mudah, tersentuh hati, merasa belas ehsan  kepada anak murid yang dahagakan ilmu dan belum ada dosa lagi jika  dibandingkan dengan kita. WAllahu'Alam.) 
Saya niatkan  pendedahan penulisan surat ini (nama sekolah, ustazah dan kelas  dirahsiakan) sebagai perkongsian ilmu yang bermanfaat sesama rakan FB  saya sebagai saham akhirat saya dan Allah permudahkan urusan pengajian  saya.Surat ini agak panjang, 1888 p.perkataan-12 Arial, single spacing!
Nama Guru Penolong kanan/Guru besar
Penyelia Kanan
Sek. _________________
_________________________.
Puan Farhah___________
_________________________,
_____________________________      28  MAC 2012 
Assalamu’alaikum wrt. wbt, 
Puan,
Sedih dan terkilan dengan bentuk hukuman yang dikenakan kepada Danish  Farhan        (Kelas 3 #) semasa kelas sesi petang, slot Pendidikan  Agama 
Saya, ibu kepada Danish Farhan (Kelas 3##) Sek.  _____________ meluahkan rasa ketidakpuasan hati saya dan suami terhadap  satu bentuk hukuman yang telah dikenakan terhadap anak kami oleh Ustazah  _________ semasa kelas Pendidikan Agama di sebelah petang, 22 Mac 2012  (Khamis).
2. Untuk makluman pihak sekolah, menurut anak saya,  difahamkan pada waktu itu, ustazah berkenaan tengah menyoal salah  seorang murid dalan kelas 3##. Murid tersebut tidak dapat menjawab  dengan tepat soalan itu. Kebetulan, anak saya boleh menjawab, dia terus  menjawab dengan tepat dan spontan kerana teruja. Kemudian, ustazah  menghampiri anak saya lalu menconteng pipi seolah-oleh bentuk kucing dan  tanda betul di sebelah pipi kiri muka anak saya dengan marker. Pihak  sekolah boleh tanya insiden ini pada kawan sekelas. Saya mengandaikan  mungkin ustazah melakukannya secara tidak sengaja dengan niat bergurau.
3. Kemudian, anak saya menggosok untuk menghilangkan bahagian yang  diconteng dan ke bilik air untuk menghilangkan kesan marker berkenaan  setelah dikomen oleh rakan sekelasnya. Namun, usaha anak saya tidak  berjaya menghilangkan kesan marker berkenaan, malahan ianya meninggalkan  seolah-olah kesan lebam luka dan bertukar warna menjadi merah. Anak  saya, kemudian balik ke rumah pada petang Khamis lalu mengadu tidak  selesa dan malu dengan keadaan bentuk lebam di mukanya. Pada mulanya,  saya terkejut, ingatkan anak saya terjatuh. Kemudian, pada malam itu  saya letakkan vasoline beberapa kali namun tidak berkesan, malahan  semakin merah dan pedih. Hari Jumaat, ada kelas pendidikan agama dengan  ustazah,namun Danish memaklumkan ustazah nampak kesan contengan di muka  tapi ustazah buat tidak layan dan tidak menanyakan perihal kesan  berkenaan. Anak saya sedih. Naluri keibuan saya tersentuh...
4.  Masuk hari ke-3, iaitu pada hari malam Sabtu (24 Mac 2012), kami  membawanya ke klinik. Doktor mengatakan ianya adalah keradangan kulit  kesan tindak balas. Lalu, diberikan ubat krim siang dan malam.
5. Secara rendah hati, kami ibubapa berpendapat bahawa tindakan ustazah  menconteng muka pelajar dengan marker sebagai salah satu bentuk hukuman  adalah tidak wajar sama sekali. Ianya merupakan salah satu bentuk  kecederaan, penganiayaan dan menimbulkan rasa tidak selesa, malu dan  rendah diri kepada emosi pelajar. Ibu bapa turut terkesan juga. Naluri  keibuan saya kuat mengatakan bahawa tindakan ustazah ini perlu ditegur  demi penambahbaikan dan kebaikan bersama. Mungkin ustazah tidak perasan,  kesannya sebegini, tekanan dari segi mental dan fizikal. Apapun, pada  masa akan datang, kami tidak mahu perkara sebegini terjadi kepada anak  kami dan para pelajar yang lain juga. 
6. Justeru, kami ingin  mancadangkan, dari semasa ke semasa pihak sekolah perlu memaklumkan  kepada para guru apakah bentuk garis panduan bentuk hukuman yang  bersesuaian (bertujuan mendidik) dengan tahap umur dan kesalahan yang  dilakukan. Di sini, kami hanya mendengar salah satu pihak. Mungkin  sebelum ini, anak kami ada berbuat kesalahan yang mana, tidak disukai  oleh ustazah berkenaan. Kami amat memahami ustazah juga manusia, ada  tekanan dan bebanan tugasan yang pelbagai. Justeru, walaupun anak kami  malu dan perlu dipulihkan semangat dan keyakinan diri, kami redha dan  memaafkan tindakan hukuman ustazah berkenaan walaupun kami telah dan  masih menanggung rasa tidak selesa, sedih dan terpaksa menanggung kos  rawatan klinik yang harganya agak tinggi. Kami tidak bercadang untuk  mengemukakan tuntutan kos rawatan walaupun ianya wajar. Cuba bayangkan,  bagaimana jika pelajar lain dari keluarga yang susah dan berpendapatan  rendah, terpaksa membayar kos RM45 (contoh) untuk krim berkenaan adalah  mahal buat masa ini. Biarlah kami pasrah menanggung kos, mental torture  dan humiliation akibat tindakan ustazah berkenaan. Perasaan saya sebagai  seorang ibu turut terganggu dengan tindakan ustazah menconteng muka  anak saya. Saya rasa sedih, pilu dan adakalanya tidak dapat melelapkan  mata beberapa hari. Fokus saya kepada pengajian saya sedikit sebanyak  turut terganggu. Saya anggap ianya sebagai cabaran. Mungkin insiden  berkenaan dianggap remeh pada mulanya oleh ustazah. Maaf, sekali lagi  kami nyatakan tindakan ustazah amat tidak wajar dan ianya bukan perkara  kecil/ringan.
7.  Kami tidak kisah sekiranya dikenakan hukuman  yang lain seperti rotan di telapak tangan, asal jangan di bahagian muka  kerana kawasan di muka amat sensitif dan menjadi tatapan ramai. Ramai  yang menegur menyebabkan anak saya merasa malu dan kurang selesa.  Sehingga sekarang, kami masih keliru, jika betul penjelasan anak kami,  adakah menjadi satu kesalahan sekiranya seorang anak murid teruja  menjawab dengan  betul secara sponton soalan yang tidak ditujukan kepada  dirinya? Jika ianya adalah merupakan satu kesalahan, maka peranan guru  secara pro-aktif, tanpa jemu perlu menerangkan kepada semua murid dalam  kelas, bahawa jika ingin menjawab soalan, angkat tangan atau hanya  apabila guru memanggil nama murid berkenaan. Hanya dia sahaja yang LAYAK  menjawab soalah itu. Pelajar lain, jika tahu jawapan TIDAK LAYAK dan  mesti senyap! Apa salahnya, jika ustazah berkata sesuatu yang positif  kepada anak saya :””Danish, ustazah tahu Danish tahu jawapan itu. Tapi,  ustazah nak orang lain jawab supaya dia juga turut pandai macam Danish.  Ustazah nak bagi peluang sama rata biar adil.Boleh ya.Terima kasih”  beserta nada yang lembut dan dalam keadaan menang menang. (win win  situation). Kedua belah pihak tidak terasa. Apapun, pihak sekolah perlu  siasat dan menanyakan perkara yang sebenar dengan ustazah_______. Kami  juga ingin mendengar penjelasan dari kedua belah pihak demi kepastian.
8. Kami tidak berniat untuk memperbesar-besarkan insiden ini. The  damage has been done. Kami memohon agar perkara ini tidak dianggap kecil  atau ringan oleh ustazah dan pihak sekolah. Pada akhir minggu lepas,  ALLAH sahaja yang mengetahui tekanan dan perasaan sedih kami, ibu bapa  melihat wajah anak kami beserta kesan contengan muka. Dia malu untuk  bersosial dengan kawan semasa cuti hujung minggu yang lepas. Yang paling  penting, kami ingin pulihkan semangat dan keyakinan diri anak kami yang  selama ini, kami didik supaya menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi,  percaya dengan kebolehan sendiri dan menghormati para guru. Kami sudah  menasihati anak kami supaya memaafkan tindakan ustazah berkenaan kerana  guru pun manusia biasa, tidak lari dari melakukan kesilapan. Jadikan  iktibar dan pedoman masa hadapan, kami berharap agar ustazah berkenaan  tidak mengulangi kesilapannya yang lepas dan memohon maaf dengan anak  kami dengan segera dan bagi motivasi membina.
9. Apa sahaja  bentuk hukuman dibenarkan asal TIDAK melanggar syariat Islam, TIDAK  mencederakan, menyakiti, menyebabkan tekanan perasaan (mental torture)  dan TIDAK memalukan pelajar (humiliation) berkenaan dibenarkan bertujuan  mendidik dan bukan menghukum mengikut perasaan dengan  sewenang-wenangnya. Ingatlah, muka pelajar ini muka anak orang, bukannya  muka anak patung (muka anak patung pun, tidak sampai hati nak conteng  sebab sayang!).
10. Di sini, kami memohon maaf jika terkasar  bahasa, menyinggung perasaan mana-mana pihak terutama ustazah. Kami  hanya nyatakan yang benar (haq). Mohon jangan ada pisang berbuah dua  kali. Kalau ada perkara sebegini berlaku lagi,contohnya, (mohon  dijauhkan) jika berlaku parut kekal, ibubapa ada hak untuk  mengetengahkan ke peringkat undang-undang : menuntut pampasan dan ganti  rugi. Juga, kami pohon, ustazah jangan terasa hati lalu bersikap endah  tidak endah dengan prestasi atau bersikap bias (berat sebelah) semasa  mengajar dan memeriksa kertas agama anak kami. Anggaplah ini semua  sebagai ujian dari Allah, (kaitkan dengan dosa, pahala, syurga dan  neraka) untuk menaikkan martabat kita sebagai hambaNya yang beriman.  Ingat, rezeqi yang diperolehi hasil didikan anak murid adalah berkat.  Kami yakin ustazah lebih faqeh dan alim dalam soal agama dan akhlak.  Kami doakan agar ustazah dan semua guru dikurniakan sifat sabar, tabah  dan berlapang dada dengan kerenah anak murid. 
11. Sememangnya,  tugas mengajar para pelajar bukan suatu tugas yang mudah. Saya sendiri  merupakan seorang pendidik di IPTA. Pengalaman saya sendiri yang tidak  seberapa, pernah mengajar dalam kuantiti yang ramai (sekali mengajar  melebihi 150 orang dalam dewan) dalam tempoh hampir dua jam berdepan  dengan pelbagai kerenah.Kadang kala dewan kuliah bising, mengalahkan  pasar malam!  Mengajar anak muda peringkat remaja (yang mana kita tidak  boleh marah, pukul apatah lagi menconteng muka!) banyak menguji keimanan  dan kesabaran saya. Apa yang saya buat, tunjuk slides motivasi,  tazkirah berbentuk cerita dan menegur secara hikmah ternyata  teknik-teknik sebegini banyak melembutkan hati para pelajar selain  berdoa. Di samping itu, selain mengajar (pendidik mesti minat dan ikhlas  mengajar, bukan kerana terpaksa), menyelidik, menulis artikel jurnal,  prosiding dan buku, membentang kertas kerja di luar negara, menghadiri  bengkel dan mesyuarat fakulti/jabatan, memberi konsultan kepada pihak  industri dan audit Lloyd (kerja-kerja pentadbiran) juga tidak  terkecuali. Kadangkala, makan tengah hari pun tidak sempat! Pelajar cuti  semester, kami tidak cuti (beruntung guru sekolah boleh cuti semasa  cuti sekolah!) , jadual kerja seperti biasa : menghadiri mesyuarat,  kadang kala out-station, kursus dan bengkel yang pelbagai. Jadual harian  kerja 8 pagi-6 petang dirasakan tidak cukup. Sesekali memeriksa kertas,  beratus-ratus skrip jawapan berbentuk pelbagai jawapan karangan yang  panjang dalam tempoh yang agak singkat sahaja diberikan. Namun, saya  anggap ini adalah amanah, akur, berazam melunaskan tugas dan bebanan  mengajar. Bagi saya, peluang mendidik anak bangsa jangan dipandang mudah  atau sambil lewa sebab ianya merupakan sebagai tugas yang mulia dan  dipandang tinggi oleh Allah (sebagai pencen kubur nanti) serta sumbangan  kepada masyarakat. Apa yang saya nyatakan di atas, saya amat memahami  tekanan dan bebanan kerja mengajar sebab saya pun berada dalam bidang  tugas hakiki yang sama. Maka, tidak boleh menjustifikasikan/beralasan  bertindak sebegitu disebabkan tekanan dan bebanan kerja. Pihak sekolah  perlu mengenal pasti punca mengapa ustazah bertindak sedemikian, di luar  kawalan. Jika ketidakcukupan  tenaga pengajar dalam subjek menyebabkan  ustazah (bukan semua) mengalami kemurungan dan tertekan, maka ini  merupakan masalah dalaman pihak sekolah yang perlu diselesaikan dengan  SEGERA demi kebaikan semua pihak, pihak guru dan para pelajar secara  keseluruhan, secara tidak langsung dapat mencapai target sekolah ke arah  berprestasi tinggi dalam bidang akademik dan akhlak yang baik. Guru  seharusnya menunjukkan akhlak yang baik juga kepada anak muridnya supaya  tidak mengikut perasaan emosi, kurang sabar dan kurang berhikmah dalam  mendidik anak murid.
12. Secara ringkasnya, kami cukup  menghormati semua guru dan pendidik termasuk para pelajar juga. Di sini,  kami mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan di atas segala  tunjuk ajar dan didikan para guru di Sek.______ yang mengajar anak kami.  Apapun yang telah berlaku, kami berlapang dada dan berfikiran positif.  Ambil yang jernih, buang yang keruh. Bukan niat kami untuk mencari  kesalahan atau mengajar sesiapa. Semoga, selepas ini, Allah kurniakan  kesabaran dan ketabahan kepada semua guru di Sek______ terutama ustazah.  Kami mohon maaf sekali lagi jika ada terkasar bahasa atau ada yang  menyinggung perasaan. Nawaitu kami baik, mencari penambahbaikan demi  kebaikan bersama-sama dan redha Allah. Buat seluruh warga pendidik  Sek______ dan para pelajar yang diredhai Allah, kami ucapkan syabas,  terima kasih tidak terhingga  di atas keprihatinan dan kerjasama pihak  sekolah.
Yang baik semuanya datang dari Allah. Segala kekurangan, dari pihak kami. 
Mohon maaf seadanya. Wallahu’alam.
Terima kasih. Wassalam.
Yang benar,
(__________)
Tel : 
P/S : Untuk makluman, jika pihak Sekolah ingin menghubungi saya. Mohon  maaf, dari _____April 2012 ,saya tiada di Malaysia. Akan berada di  ____________. Terima kasih.
S.K :  Nama Guru kelas
Guru kelas 3##, Sekolah___________________________________
