Thursday, 29 March 2012

Contoh surat kepada pihak sekolah, jika ada sebarang insiden tidak diingini berlaku kepada anak kita (mohon Allah jauhkan)

ekoran entry INI, so my senior selaku ibu Danish telah menulis surat kepada pihak sekolah...
me dh mintak her permission utk share kat my blog, utk kebaikan kita semua, in case terjadi kepada sesiapa jua hal yg serupa (wal iyazubillah)

(Contoh surat kepada pihak sekolah, jika ada sebarang insiden tidak diingini berlaku kepada anak kita (mohon Allah jauhkan) untuk kebaikan bersama) Pengalaman menulis surat ini afdhal berada dalam keadaan berwudu', selawat, solat taubat dan hajat) mohon Allah permudahkan dan sampai mesej kita kepada pihak penerima. Objektif: Semoga ibubapa yang membaca mendapat inspirasi dan guru-guru yang membaca merasakan bahawa mendidik anak bangsa bukan tugas yang mudah, tersentuh hati, merasa belas ehsan kepada anak murid yang dahagakan ilmu dan belum ada dosa lagi jika dibandingkan dengan kita. WAllahu'Alam.)

Saya niatkan pendedahan penulisan surat ini (nama sekolah, ustazah dan kelas dirahsiakan) sebagai perkongsian ilmu yang bermanfaat sesama rakan FB saya sebagai saham akhirat saya dan Allah permudahkan urusan pengajian saya.Surat ini agak panjang, 1888 p.perkataan-12 Arial, single spacing!

Nama Guru Penolong kanan/Guru besar
Penyelia Kanan
Sek. _________________
_________________________.

Puan Farhah___________
_________________________,
_____________________________ 28 MAC 2012
Assalamu’alaikum wrt. wbt,
Puan,

Sedih dan terkilan dengan bentuk hukuman yang dikenakan kepada Danish Farhan (Kelas 3 #) semasa kelas sesi petang, slot Pendidikan Agama

Saya, ibu kepada Danish Farhan (Kelas 3##) Sek. _____________ meluahkan rasa ketidakpuasan hati saya dan suami terhadap satu bentuk hukuman yang telah dikenakan terhadap anak kami oleh Ustazah _________ semasa kelas Pendidikan Agama di sebelah petang, 22 Mac 2012 (Khamis).

2. Untuk makluman pihak sekolah, menurut anak saya, difahamkan pada waktu itu, ustazah berkenaan tengah menyoal salah seorang murid dalan kelas 3##. Murid tersebut tidak dapat menjawab dengan tepat soalan itu. Kebetulan, anak saya boleh menjawab, dia terus menjawab dengan tepat dan spontan kerana teruja. Kemudian, ustazah menghampiri anak saya lalu menconteng pipi seolah-oleh bentuk kucing dan tanda betul di sebelah pipi kiri muka anak saya dengan marker. Pihak sekolah boleh tanya insiden ini pada kawan sekelas. Saya mengandaikan mungkin ustazah melakukannya secara tidak sengaja dengan niat bergurau.

3. Kemudian, anak saya menggosok untuk menghilangkan bahagian yang diconteng dan ke bilik air untuk menghilangkan kesan marker berkenaan setelah dikomen oleh rakan sekelasnya. Namun, usaha anak saya tidak berjaya menghilangkan kesan marker berkenaan, malahan ianya meninggalkan seolah-olah kesan lebam luka dan bertukar warna menjadi merah. Anak saya, kemudian balik ke rumah pada petang Khamis lalu mengadu tidak selesa dan malu dengan keadaan bentuk lebam di mukanya. Pada mulanya, saya terkejut, ingatkan anak saya terjatuh. Kemudian, pada malam itu saya letakkan vasoline beberapa kali namun tidak berkesan, malahan semakin merah dan pedih. Hari Jumaat, ada kelas pendidikan agama dengan ustazah,namun Danish memaklumkan ustazah nampak kesan contengan di muka tapi ustazah buat tidak layan dan tidak menanyakan perihal kesan berkenaan. Anak saya sedih. Naluri keibuan saya tersentuh...

4. Masuk hari ke-3, iaitu pada hari malam Sabtu (24 Mac 2012), kami membawanya ke klinik. Doktor mengatakan ianya adalah keradangan kulit kesan tindak balas. Lalu, diberikan ubat krim siang dan malam.

5. Secara rendah hati, kami ibubapa berpendapat bahawa tindakan ustazah menconteng muka pelajar dengan marker sebagai salah satu bentuk hukuman adalah tidak wajar sama sekali. Ianya merupakan salah satu bentuk kecederaan, penganiayaan dan menimbulkan rasa tidak selesa, malu dan rendah diri kepada emosi pelajar. Ibu bapa turut terkesan juga. Naluri keibuan saya kuat mengatakan bahawa tindakan ustazah ini perlu ditegur demi penambahbaikan dan kebaikan bersama. Mungkin ustazah tidak perasan, kesannya sebegini, tekanan dari segi mental dan fizikal. Apapun, pada masa akan datang, kami tidak mahu perkara sebegini terjadi kepada anak kami dan para pelajar yang lain juga.

6. Justeru, kami ingin mancadangkan, dari semasa ke semasa pihak sekolah perlu memaklumkan kepada para guru apakah bentuk garis panduan bentuk hukuman yang bersesuaian (bertujuan mendidik) dengan tahap umur dan kesalahan yang dilakukan. Di sini, kami hanya mendengar salah satu pihak. Mungkin sebelum ini, anak kami ada berbuat kesalahan yang mana, tidak disukai oleh ustazah berkenaan. Kami amat memahami ustazah juga manusia, ada tekanan dan bebanan tugasan yang pelbagai. Justeru, walaupun anak kami malu dan perlu dipulihkan semangat dan keyakinan diri, kami redha dan memaafkan tindakan hukuman ustazah berkenaan walaupun kami telah dan masih menanggung rasa tidak selesa, sedih dan terpaksa menanggung kos rawatan klinik yang harganya agak tinggi. Kami tidak bercadang untuk mengemukakan tuntutan kos rawatan walaupun ianya wajar. Cuba bayangkan, bagaimana jika pelajar lain dari keluarga yang susah dan berpendapatan rendah, terpaksa membayar kos RM45 (contoh) untuk krim berkenaan adalah mahal buat masa ini. Biarlah kami pasrah menanggung kos, mental torture dan humiliation akibat tindakan ustazah berkenaan. Perasaan saya sebagai seorang ibu turut terganggu dengan tindakan ustazah menconteng muka anak saya. Saya rasa sedih, pilu dan adakalanya tidak dapat melelapkan mata beberapa hari. Fokus saya kepada pengajian saya sedikit sebanyak turut terganggu. Saya anggap ianya sebagai cabaran. Mungkin insiden berkenaan dianggap remeh pada mulanya oleh ustazah. Maaf, sekali lagi kami nyatakan tindakan ustazah amat tidak wajar dan ianya bukan perkara kecil/ringan.

7. Kami tidak kisah sekiranya dikenakan hukuman yang lain seperti rotan di telapak tangan, asal jangan di bahagian muka kerana kawasan di muka amat sensitif dan menjadi tatapan ramai. Ramai yang menegur menyebabkan anak saya merasa malu dan kurang selesa. Sehingga sekarang, kami masih keliru, jika betul penjelasan anak kami, adakah menjadi satu kesalahan sekiranya seorang anak murid teruja menjawab dengan betul secara sponton soalan yang tidak ditujukan kepada dirinya? Jika ianya adalah merupakan satu kesalahan, maka peranan guru secara pro-aktif, tanpa jemu perlu menerangkan kepada semua murid dalam kelas, bahawa jika ingin menjawab soalan, angkat tangan atau hanya apabila guru memanggil nama murid berkenaan. Hanya dia sahaja yang LAYAK menjawab soalah itu. Pelajar lain, jika tahu jawapan TIDAK LAYAK dan mesti senyap! Apa salahnya, jika ustazah berkata sesuatu yang positif kepada anak saya :””Danish, ustazah tahu Danish tahu jawapan itu. Tapi, ustazah nak orang lain jawab supaya dia juga turut pandai macam Danish. Ustazah nak bagi peluang sama rata biar adil.Boleh ya.Terima kasih” beserta nada yang lembut dan dalam keadaan menang menang. (win win situation). Kedua belah pihak tidak terasa. Apapun, pihak sekolah perlu siasat dan menanyakan perkara yang sebenar dengan ustazah_______. Kami juga ingin mendengar penjelasan dari kedua belah pihak demi kepastian.

8. Kami tidak berniat untuk memperbesar-besarkan insiden ini. The damage has been done. Kami memohon agar perkara ini tidak dianggap kecil atau ringan oleh ustazah dan pihak sekolah. Pada akhir minggu lepas, ALLAH sahaja yang mengetahui tekanan dan perasaan sedih kami, ibu bapa melihat wajah anak kami beserta kesan contengan muka. Dia malu untuk bersosial dengan kawan semasa cuti hujung minggu yang lepas. Yang paling penting, kami ingin pulihkan semangat dan keyakinan diri anak kami yang selama ini, kami didik supaya menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi, percaya dengan kebolehan sendiri dan menghormati para guru. Kami sudah menasihati anak kami supaya memaafkan tindakan ustazah berkenaan kerana guru pun manusia biasa, tidak lari dari melakukan kesilapan. Jadikan iktibar dan pedoman masa hadapan, kami berharap agar ustazah berkenaan tidak mengulangi kesilapannya yang lepas dan memohon maaf dengan anak kami dengan segera dan bagi motivasi membina.

9. Apa sahaja bentuk hukuman dibenarkan asal TIDAK melanggar syariat Islam, TIDAK mencederakan, menyakiti, menyebabkan tekanan perasaan (mental torture) dan TIDAK memalukan pelajar (humiliation) berkenaan dibenarkan bertujuan mendidik dan bukan menghukum mengikut perasaan dengan sewenang-wenangnya. Ingatlah, muka pelajar ini muka anak orang, bukannya muka anak patung (muka anak patung pun, tidak sampai hati nak conteng sebab sayang!).

10. Di sini, kami memohon maaf jika terkasar bahasa, menyinggung perasaan mana-mana pihak terutama ustazah. Kami hanya nyatakan yang benar (haq). Mohon jangan ada pisang berbuah dua kali. Kalau ada perkara sebegini berlaku lagi,contohnya, (mohon dijauhkan) jika berlaku parut kekal, ibubapa ada hak untuk mengetengahkan ke peringkat undang-undang : menuntut pampasan dan ganti rugi. Juga, kami pohon, ustazah jangan terasa hati lalu bersikap endah tidak endah dengan prestasi atau bersikap bias (berat sebelah) semasa mengajar dan memeriksa kertas agama anak kami. Anggaplah ini semua sebagai ujian dari Allah, (kaitkan dengan dosa, pahala, syurga dan neraka) untuk menaikkan martabat kita sebagai hambaNya yang beriman. Ingat, rezeqi yang diperolehi hasil didikan anak murid adalah berkat. Kami yakin ustazah lebih faqeh dan alim dalam soal agama dan akhlak. Kami doakan agar ustazah dan semua guru dikurniakan sifat sabar, tabah dan berlapang dada dengan kerenah anak murid.

11. Sememangnya, tugas mengajar para pelajar bukan suatu tugas yang mudah. Saya sendiri merupakan seorang pendidik di IPTA. Pengalaman saya sendiri yang tidak seberapa, pernah mengajar dalam kuantiti yang ramai (sekali mengajar melebihi 150 orang dalam dewan) dalam tempoh hampir dua jam berdepan dengan pelbagai kerenah.Kadang kala dewan kuliah bising, mengalahkan pasar malam! Mengajar anak muda peringkat remaja (yang mana kita tidak boleh marah, pukul apatah lagi menconteng muka!) banyak menguji keimanan dan kesabaran saya. Apa yang saya buat, tunjuk slides motivasi, tazkirah berbentuk cerita dan menegur secara hikmah ternyata teknik-teknik sebegini banyak melembutkan hati para pelajar selain berdoa. Di samping itu, selain mengajar (pendidik mesti minat dan ikhlas mengajar, bukan kerana terpaksa), menyelidik, menulis artikel jurnal, prosiding dan buku, membentang kertas kerja di luar negara, menghadiri bengkel dan mesyuarat fakulti/jabatan, memberi konsultan kepada pihak industri dan audit Lloyd (kerja-kerja pentadbiran) juga tidak terkecuali. Kadangkala, makan tengah hari pun tidak sempat! Pelajar cuti semester, kami tidak cuti (beruntung guru sekolah boleh cuti semasa cuti sekolah!) , jadual kerja seperti biasa : menghadiri mesyuarat, kadang kala out-station, kursus dan bengkel yang pelbagai. Jadual harian kerja 8 pagi-6 petang dirasakan tidak cukup. Sesekali memeriksa kertas, beratus-ratus skrip jawapan berbentuk pelbagai jawapan karangan yang panjang dalam tempoh yang agak singkat sahaja diberikan. Namun, saya anggap ini adalah amanah, akur, berazam melunaskan tugas dan bebanan mengajar. Bagi saya, peluang mendidik anak bangsa jangan dipandang mudah atau sambil lewa sebab ianya merupakan sebagai tugas yang mulia dan dipandang tinggi oleh Allah (sebagai pencen kubur nanti) serta sumbangan kepada masyarakat. Apa yang saya nyatakan di atas, saya amat memahami tekanan dan bebanan kerja mengajar sebab saya pun berada dalam bidang tugas hakiki yang sama. Maka, tidak boleh menjustifikasikan/beralasan bertindak sebegitu disebabkan tekanan dan bebanan kerja. Pihak sekolah perlu mengenal pasti punca mengapa ustazah bertindak sedemikian, di luar kawalan. Jika ketidakcukupan tenaga pengajar dalam subjek menyebabkan ustazah (bukan semua) mengalami kemurungan dan tertekan, maka ini merupakan masalah dalaman pihak sekolah yang perlu diselesaikan dengan SEGERA demi kebaikan semua pihak, pihak guru dan para pelajar secara keseluruhan, secara tidak langsung dapat mencapai target sekolah ke arah berprestasi tinggi dalam bidang akademik dan akhlak yang baik. Guru seharusnya menunjukkan akhlak yang baik juga kepada anak muridnya supaya tidak mengikut perasaan emosi, kurang sabar dan kurang berhikmah dalam mendidik anak murid.

12. Secara ringkasnya, kami cukup menghormati semua guru dan pendidik termasuk para pelajar juga. Di sini, kami mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan di atas segala tunjuk ajar dan didikan para guru di Sek.______ yang mengajar anak kami. Apapun yang telah berlaku, kami berlapang dada dan berfikiran positif. Ambil yang jernih, buang yang keruh. Bukan niat kami untuk mencari kesalahan atau mengajar sesiapa. Semoga, selepas ini, Allah kurniakan kesabaran dan ketabahan kepada semua guru di Sek______ terutama ustazah. Kami mohon maaf sekali lagi jika ada terkasar bahasa atau ada yang menyinggung perasaan. Nawaitu kami baik, mencari penambahbaikan demi kebaikan bersama-sama dan redha Allah. Buat seluruh warga pendidik Sek______ dan para pelajar yang diredhai Allah, kami ucapkan syabas, terima kasih tidak terhingga di atas keprihatinan dan kerjasama pihak sekolah.

Yang baik semuanya datang dari Allah. Segala kekurangan, dari pihak kami.

Mohon maaf seadanya. Wallahu’alam.

Terima kasih. Wassalam.

Yang benar,

(__________)
Tel :

P/S : Untuk makluman, jika pihak Sekolah ingin menghubungi saya. Mohon maaf, dari _____April 2012 ,saya tiada di Malaysia. Akan berada di ____________. Terima kasih.

S.K : Nama Guru kelas
Guru kelas 3##, Sekolah___________________________________



7 comments:

mysha said...

aKak dasyat gak eh klo jadi gini... bagus contoh surat nih kAK...

mummy_ayu said...

ye la..tak patut..bukan Danish buat salah pun..dia nak jawab..tu pun kena conteng2 kat muka.pakai marker plak tu..mesti cikgu muda nie..memang kena tegur, kalu tak..mcm2 lagi nanti

Nafisa81 said...

tapi golongan cikgulah kononnya paling byk tekanan.masuk wad mental...ngadu tuntutan itu ini dgn NUTP...

BABY(MAMA AMANA&ARIEF) said...

mak oi panjangnye surat tapi bila baca ila rasa ssejuk hati sbb ayatnya amat sopan dan merendah diri.. so cikgu yang baca pun tak le terasakan? bagus sangat ayat2nya..

CAHAYA HIDUPKU (Nur Hayati) said...

Terima kasih MZ kongsi surat ni, akak pun tengah pening kepala nak selesaikan masalah anak akak dengan ustazahnya. Boleh baca di entri akak.

http://cahayahidupku2569.blogspot.com/2012/03/mama-tengah-pening.html

Hanim said...

Jgn anakku dianiaya dn diperlakukn spt danish. Nauzubillah!

adianiez AIDA said...

ibu mana yg tak terasa hati kira nya ini berlaku kat anak-anak...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails